IDEAS Autism Centre (IAC) ditubuhkan pada tahun 2012 di Rawang, Selangor, oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Berhad (940689-W), sebagai sebahagian dari usaha kami untuk menyediakan rawatan pemulihan bagi mereka yang memerlukan, dan pada masa yang sama menjalankan penyelidikan serta mengembangkan model perusahaan sosial lestari yang dapat dicontohi bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
Sebagai sebuah pertubuhan sosial, IAC berhasrat untuk memenuhi objektif utama kami untuk memaksimumkan manfaat kepada masyarakat. Kami percaya bahawa penjagaan yang berkualiti seharusnya dapat dinikmati oleh semua individu dan kami menyediakan Program Intervensi Awal bagi kanak-kanak autisme. Intervensi awal dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak dimana mereka boleh mendapatkan kesan positif jangka panjang yang dapat membantu menyesuaikan diri untuk ke sekolah rendah arus perdana, dan juga memiliki peluang yang lebih besar di kemudian hari untuk berdikari dan melibatkan diri dalam masyarakat.
Pusat pertama kami di Rawang dibina khas dan disesuaikan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak autisme serta memberi fokus kepada mereka yang berasal dari keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita kurang daripada RM1,500.
Dengan sokongan yang diterima daripada rakan penaja kami, Yayasan Sime Darby (YSD), serta 25 organisasi lain, kami dapat memberi perkhidmatan penjagaan, pendidikan dan terapi berkualiti untuk kanak-kanak autisme dari keluarga yang berpendapatan rendah dan ini membolehkan ibu bapa mereka terus kekal atau kembali bekerja.
Pusat kami di Nilai telah dibuka pada Januari 2022. Pusat ini menawarkan penjagaan dan pendidikan berkualiti untuk kanak-kanak autisme dengan yuran yang berpatutan. Sebilangan dana yang diperolehi dari pusat ini akan digunakan untuk membantu kanak-kanak dari latar belakang yang kurang bernasib baik di pusat kami di Rawang.